Jarang sekali bagi saya menulis dalam Bahasa Melayu, walaupun menulis kapada anak-anak saya sendiri.Bukanlah saya mengagongkan Bahasa Inggeris ,bahasa penjajah ini ,tetapi entah mengapa saya lebih selesa menggunakannya . Kali ini saya tergerak untuk menulis dalam Bahasa Melayu oleh kerana beberapa hari lagi ialah hari ulang tahun kemerdekaan negara kita Malaysia.Adalah tidak patriotik jika saya menulis didalam Bahasa Inggeris pada waktu ini .
31 Ogos 1957 mengingatkan saya kapada tarikh kemerdekaan Malaya-nama negara kita pada masa itu .Pada masa itu saya baru berumur 10 tahun dan bersekolah dalam darjah 3 dan belum mengerti apa erti kemerdekaan , selain slogan 'Merdeka' yang sering kedengaran dilaungkan melalui corong-corong radio ataupun laungan pada upacara-upacara yang diadakan di peringkat daerah dimana kami tinggal - Sabak Bernam . Namun begitu sebelum itu saya sering mendengar pidato-pidato Presiden Soekarno yang penuh semangat melalui Radio Republik Indonesia yang diikuti oleh aruah bapa saya .Beliau adalah peminat setia Presiden Soekarno. Dari mulut Soekarno-lah mula-mula saya mendengar laungan 'merdeka' yang penuh semangat itu .
Tahun demi tahun berjalan saya dapat merasakan perubahan yang berlaku dalam kampong dan Pekan di daerah tempat kami tinggal hasil pembangunan dan nikmat kemerdekaan .Demikian juga saya telah berjaya meneruskan pelajaran di Sekolah Inggeris .Bangganya saya pada masa itu kerana dapat menguasai bahasa bekas penjajah negara ini .Tetapi ini tidaklah bermaana bahawa saya menyanjungi penjajah. Mereka bukan sahaja mengaut kekayaan dari negara kita ini , tetapi kita juga telah diotek-otekkan serta dipersendakan seolah-olah kita ini tidak setaraf dengan bangsa mereka. Kita bertuah kerana mendapat pemimpin-pemimpin saperti Tun Razak dan Tun Dr.Ismail yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk membangunkan negara ini dan memberikan kesejahteraan kapada rakyat negara ini .Berbanding kebanyakkan pemimpin yang ada sekarang yang hanya mementingkan faedah untuk diri mereka dan konco-konco mereka .Itulah hasil pembangunan yang hanya mementingkan material sahaja dan mengesampingkan pembangunan rohaniah . Bagi mereka wang adalah segalanya yang bisa membeli apa sahaja dengan wang ringgit tersebut sehingga maruah juga dapat dijualbelikan. Bagi saya kemerdekaan negara hendaklah juga diikuti dengan pembangunan minda yang bebas dan merdeka juga.
Selepas 48 tahun negara ini merdeka harapan saya kapada bangsaku supaya mereka turut dapat menikmati erti sebenar kemerdekaan .Janganlah hanya leka dengan jeritan/laungan merdeka sahaja sedangkan hidup kita masih dibelenggu dengan kemiskinan manakala bangsa-bangsa lain hidup menikmati kekayaan. Kehidupan kita hendaklah lebih baik daripada kehidupan sebelumnya . Sungguh menyayat hati setiap kali melihatkan rayuan-rayuan melalui TV dan media cetak dari mereka yang hidup dalam kedaifan . Sepatutnya tiada lagi kedaifan didalam sebuah negara merdeka seperti Malaysia .Banggakah kita melaungkan ' Merdeka ' sedangkan ada kedaifan diantara kita ?